11 Ogos 2003
12 Jamadil Akhir 1424
Utusan Malaysia
 
Utusan Express
 

Search Archives
Feedback
Corporate Info

 
 Megabait

Rumah pintar bersepadu buatan tempatan - sistem Secure Smith

Oleh Mohd. Ridzwan Md. Iman

JIMMY Tok Soon Guan (kiri) dan Ralph Yew Eng Teik menunjukkan peralatan yang digunakan dalam sistem rumah pintar Secure Smith yang dibangunkan oleh iNix Technologies.

(megabait@utusan.com.my)
MEMILIKI sistem rumah pintar mungkin tidak sama seperti lima atau 10 tahun dahulu yang mana ia hanya mampu dimiliki oleh golongan berada memandangkan kosnya yang tinggi disebabkan produk tersebut merupakan barangan diimport.

Bagaimanapun, dengan bermodalkan kira-kira RM2,000 sahaja sekarang, anda telah boleh menikmati sistem tersebut dan seterusnya membolehkan anda memiliki rumah berciri masa depan tersebut.

Pengurangan kos dalam melaksanakan sistem rumah pintar di negara ini adalah disebabkan telah banyak syarikat tempatan yang menceburi bidang tersebut.

``Kebanyakan sistem rumah pintar adalah diimport dan kemudian dijenamakan semula di negara ini yang menjadikan kosnya agak tinggi,'' kata Jimmy Tok Soon Guan, pengasas syarikat sistem rumah pintar, iNix Technologies Sdn. Bhd.

Beliau berkata, disebabkan faktor barangan diimport tersebut, pengguna kadangkala boleh menghadapi masalah selepas menggunakannya kerana sistem itu tidak dibangunkan mengikut kesesuaian persekitaran di negara ini.

``Masalah seperti bekalan elektrik terputus, aliran elektrik tidak stabil dan kilat boleh menjejaskan produk import tersebut dengan mudah,'' katanya sambil menjelaskan produk syarikatnya telah mengambil kira kesemua elemen tersebut ketika proses pembangunan.

Sistem rumah pintar bersepadu iNix sebenarnya telah dibangunkan dari peringkat asas iaitu sistem mengesan pencerobohan yang menggera alat penggera dan mendail telefon pengguna sehingga kepada sistem sekarang yang turut dilengkapi kamera pengawasan.

Bermula dengan perasaan marahkan pencuri yang memasuki rumahnya pada 1994, Soon Guan berazam untuk mengatasi masalah tersebut dengan membangunkan sendiri sistem penggera yang mampu memaklumkan mengenai sebarang pencerobohan kepada pengguna melalui telefon.

``Selepas peristiwa tersebut (rumah dimasuki pencuri), saya dan rakan telah membangunkan sistem penggera untuk keselamatan rumah hasil daya inisiatif kami sendiri,'' katanya.

Soon Guan bersama rakan perniagaannya, Cheong Kok Yai telah menubuhkan PC Sentry Sdn. Bhd. yang membangunkan sistem keselamatan rumah dikenali sebagai Sentinel Pro dengan kemampuan mendail nombor telefon pengguna apabila berlaku pencerobohan.

Sistem itu yang kini dalam versi ke-10 dinamakan semula dengan nama Secure Smith yang kini di bawah tanggungjawab iNix, anak syarikat PC Sentry yang turut mendapat pelaburan dari MavCap, agensi pelaburan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

iNix bertanggungjawab membangun dan memasarkan rumusan keselamatan rumah, automasi (kawalan peralatan elektrik) dan sistem pemantauan berkamera CCTV.

``Kesemua sistem ini termasuk reka bentuk, perisian dan perkakasan dibangunkan sendiri oleh anak tempatan dan bukannya menggunakan produk luar yang diberi jenama semula,'' jelasnya.

Katanya, walaupun Secure Smith telah siap dibangunkan, iNix masih belum memperkenalkannya kepada umum dengan memberi tumpuan terlebih dahulu kepada pembangun-pembangun hartanah untuk menawarkan rumah pintar kepada pelanggan mereka.

``Setakat ini, 20 syarikat pemaju hartanah telah menandatangani surat hasrat bagi menggunakan sistem tersebut untuk projek perumahan mereka,'' katanya.

Sistem Secure Smith menggunakan teknologi terkini dalam menggabungkan pelbagai elemen rumah pintar yang membolehkan pengguna melindungi rumah mereka, mengawal peralatan elektrik dan juga memantau melalui kamera CCTV.

Pengguna boleh melihat sendiri keadaan rumah mereka melalui CCTV ini dengan mengakses sistem rumah melalui Internet atau telefon. Mereka juga boleh melihat rakaman semula segala aktiviti yang dirakam yang disimpan di dalam komputer atau perakam video.

``Ini sangat sesuai kerana ibu bapa yang bekerja kini boleh memantau perkembangan di rumah terutama mengetahui keadaan pembantu rumah menjaga anak-anak mereka,'' katanya

Kamera dengan fungsi perakam pergerakan tersebut akan merakamkan sebarang pergerakan yang dikesan di kawasan rumah dan apabila dihubungkan dengan sistem automasi, lampu juga akan terpasang dengan sendiri jika ia berlaku pada waktu malam.

Apabila di rumah, pengguna boleh mengawal sistem rumah mereka menggunakan telefon rumah, komputer poket, komputer atau televisyen pintar keluaran inix di rumah mereka.

``Apa yang menarik, melalui sistem Secure Smith, pengguna boleh menentukan tahap setting dikehendaki seperti berapa lama alat penggera perlu berbunyi serta tahap keterangan cahaya lampu,'' kata pengurus pembangunan perniagaan iNix, Ralph Yew Eng Teik.

Kawalan terhadap sistem rumah pintar iNix tersebut boleh dilakukan dengan mudah melalui komputer memandangkan ia menggunakan sistem paparan antara muka grafik (GUI).

Bagaimanapun, pengguna perlu memasang terlebih dahulu perisian tersebut kepada komputer mereka dan jika terdapat versi terbaru, pengguna boleh memindah terima perisian tersebut dari laman web iNix.

Pengguna boleh memasukkan lakaran reka bentuk rumah ke dalam sistem dan mengawal sistem keselamatan, lampu dan kamera dengan hanya menggunakan butang di tetikus komputer.

Jika ingin mengetahui kedudukan sistem dan aktiviti yang berlaku, pengguna boleh mendapatkan laporan tersebut secara terperinci dengan melihatnya pada komputer.

Sistem automasi dan CCTV Secure Smith yang menggunakan kuasa talian bekalan elektrik sebagai medium penghantaran data tidak memerlukan pengguna membuat pendawaian baru untuk tujuan pemasangan sistem.

``Juruteknik kami boleh memasang sistem dalam masa tiga atau empat jam sahaja, termasuk ujian dan penyerahan sistem kepada pelanggan,'' kata Soon Guan.

Secure Smith mempunyai keupayaan untuk mengawal sehingga 4,000 peranti atau peralatan melalui panel kawalannya dan juga sesuai untuk kegunaan komersial atau industri.

Sistem Secure Smith dijual dari harga bermula RM1,000 lebih untuk pakej asas dan pengguna boleh menambahkan ciri-ciri di masa hadapan.

Menurut beliau, iNix kini sedang menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan produk rumah pintar yang lebih canggih seperti boleh dikawal melalui arahan suara sahaja.

Sistem seumpama tersebut memerlukan penggunaan sistem pengenalan suara yang akan lebih memudahkan pengguna, terutama pengguna yang kurang gemar menggunakan pek kekunci atau komputer bagi menghidup atau mematikan sistem mereka.

Bagi membolehkan sesuatu sistem rumah pintar itu benar-benar bijak, ia seharusnya boleh dihubungkan dan juga mengawal semua peralatan di rumah seperti mengawal suhu ketuhar gelombang mikro, suhu penghawa dingin dan sebagainya.

``Kebanyakan sistem hanya mampu menghidup dan mematikan peralatan elektrik sahaja,'' katanya sambil menerangkan iNix juga masih menjalankan R&D mengenai perkara tersebut, termasuk rancangan memperkenalkan peralatan pintar.

Bagi iNix, sistem rumah pintar yang dibangunkan syarikat tersebut sememangnya telah mengambil kira segala masalah yang mungkin timbul apabila digunakan pengguna kerana ia dibangunkan di negara ini dan juga oleh anak tempatan.

Bagaimanapun, sistem rumah pintar tersebut kini hanya menanti untuk benar-benar diuji oleh pengguna biasa apabila ia dipasarkan secara besar-besaran kelak.


 






 Iklan Skyscraper

Tajuk-tajuk Berita
  • Rumah pintar bersepadu buatan tempatan - sistem Secure Smith


© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my